Monday, May 21, 2007

Kenyataan Akhbar: KOR AGAMA POLIS PERLU DIWUJUDKAN DALAM MEMBASMI RASUAH


Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan sebuah badan keselamatan yang telah ditubuhkan dibawah Akta Polis 1960. Badan ini bertanggungjawab dalam memastikan keamanan dan keselamatan Negara tidak diganggu gugat. Sejarah polis telah bermula semenjak penjajahan British di Pulau Pinang apabila tertubuhnya Piagam Keadilan (Charter of Justice). Semenjak dari itu setiap negeri melayu telah memiliki pasukan polisnya tersendiri sehinggalah berlakunya penyatuan semua polis dibawah nama Polis Persekutuan Tanah Melayu. Detik – detik perubahan ini berterusan sehinggalah pada hari ini, badan ini bertukar sebagai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan diletakkan dibawah bidang kuasa (jurisdiction) Kementerian Keselamatan dalam Negeri. Di sebalik sejarah yang tersingkap ini, kita akan dapati bahawa polis di Negara kita berkhidmat begitu cemerlang sehingga menjadi antara pasukan terbaik di dunia. Kita akan dapati dalam setiap penyiasatan yang dilaksanakan melibatkan kes – kes indeks seperti kecurian, pecah rumah dan sebagainya, polis telah berjaya mendahului had penyelesaian yang ditetapkan oleh Interpol. Sebagainya contoh, sekiranya Interpol menggariskan supaya kes – kes indeks perlu diselesaikan sebanyak 20 kes dalam sebulan tetapi polis kita dapat menyelesaikan lebih dari itu kerana hamper setiap pegawai penyiasat polis (Investigation Officer/ I.O) menyiasat dan menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes pada satu hari. Ini bermaksud had tersebut telah melebih had yang ditetapkan oleh Interpol berdasarkan pengalaman yang pernah saya lalui ketika mengikuti latihan praktikal di IPD Kuala Muda, Kedah.

Disebalik kehebatan polis yang telah terpapar di dada akhbar hampir setiap hari, saya berpandangan bahawa polis akan menjadi lebih masyur dan hebat sekiranya mereka mampu mewujudkan satu unit baru iaitu Kor Agama Polis (KALIS). Unit ini berkemungkinan akan menjadi satu unit yang pertama antaranya di dunia termasuk dunia Islam. Walaupun pasukan polis telah menerapkan beberapa penerapan nilai Islam di dalam badan tersebut antaranya ialah bacaan doa ketika perbarisan, kawad, dan majlis rasmi serta penerapan nilai islam di dalam kawad kaki dengan dimulai langkah kaki kanan yang diperkenalkan oleh mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Bakri Omar namun pendekatan dan penerapan ini perlu diteruskan dengan jayanya melalui penubuhan kor ini. Kor ini bertujuan bagi merangsang dan mengangkat martabat agama di dalam badan keselamatan ini. Ini selaras dengan kehendak perlembagaan Malaysia melalui Perkara 3 iaitu agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Di samping itu, penubuhan kor ini tidak akan menggangu gugat sebarang peruntukan dalam mana – mana akta berkaitan polis serta bersifat universal yang mampu melaksanakan pelbagai tugas yang berkaitan agama Islam di dalam polis.



Antara peranan yang dapat dimainkan oleh Kor Agama Polis ialah sebagai satu agen intergrasi dalam membasmi rasuah. Rasuah menjadi satu penyakit yang semakin membarah dalam masyarakat kita tidak terkesamping juga badan keselamatan seperti polis. Mengikut Indeks Tranparensi Antarabangsa, kedudukan Malaysia telah jatuh beberapa anak tangga pada tahun lalu iaitu tangga ke-44. Kemerosotan itu memberikan satu gambaran yang kurang enak kepada negara kita. Hal ini masih berlaku walaupun kerajaan dibawah kepimpinan perdana menteri, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah melancarkan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan Instititut Intergriti Malaysia (IIM) pada tahun 2004. Walaubagaimanapun, pendekatan yang telah diambil oleh memanda perdana menteri merupakan satu usaha yang terbaik dalam menjadikan Negara kita sifar rasuah. Sememangnya gejala rasuah ini perlu dihapuskan terutama kepada badan keselamatan dari terus memamah para anggota dan pegawai polis.kerana mereka bertanggungjawab dalam mencegah jenayah.

Pelaksanaan Kor Agama Polis dapat memberikan sedikit rangsangan kepada badan beruniform ini agar memelihara kemuliaan Islam dengan menghindari rasuah. Walaupun di baju setiap anggota pasukan tersebut telah tersemat dengan butang anti rasuah, gejala ini bakal terus berlaku sekiranya pemahaman terhadap pemakain itu tidak diambil kira. Kor ini dapat menyelesaikan fenomena ini dengan menganjurkan pelbagai diskusi ilmiah dan seminar keagamaan dalam mendidik anggota polis supaya memahami ajaran Islam yang sebenar. Hal ini kerana, Islam telah melarang umatnya dari terlibat dengan rasuah. Ini telah dinyatakan didalam sebuah hadith yang bermaksud, ‘orang yang memberi dan menerima rasuah kedua-duanya akan dicampakkan ke neraka.’ Melalui ayat ini maka amat jelas kepada kita bahawa hanya agama yang mampu dijadikan sandaran dan dorongan kepada umatnya. Agama akan memberi petunjuk dan jalan kebenaran kepada pengikutnya melalui tunas – tunas yang dibentuk hasil garapan dari Al Quran dan As Sunnah. Oleh itu, peranan Kor Agama Islam Polis mampu dilaksanakan dan dibentangkan sekiranya kesungguhan dan komitmen yang mampu ditunjukkan oleh badan tersebut.

Disebalik isu kontroversi seperti rasuah, kor agama ini juga diharap dapat menghidupkan surau – surau yang ‘begelimpangan’ di ibu pejabat polis daerah di seluruh Negara. Program penghayatan Islam melalui kuliah – kuliah ilmu di sebelah malam untuk anggota yang tidak bertugas dapat diisi oleh anggota polis sendiri dengan tertubuhnya kor ini. Di samping itu juga, melalui penubuhan kor ini, ramai anggota polis mampu menapak dan berdiri di hadapan ribuah jemaah ketika solat jumaat dalam menyampaikan khutbah seperti mana yang dilakukan oleh Timbalan Ketua Polis Kelantan beberapa bulan yang lalu. Kita mahu melahirkan ribuan anggota polis yang berketrampilan dari sudut agama dan menjunjung tinggi nas – nas yang telah ditetapkan oleh Allah. Bahkan manfaat penubuhan kor ini juga dapat ditaburkan dan disemai melalui penghayatan bulan – bulan Islam seperti bulan ramadhan, maulidur rasul, sambutan ma’al hijrah dan sebagainya dapat diterjemahkan melalui program yang bakal disusun oleh kor agama ini nanti. Anak – anak anggota polis juga bakal menerima ‘ganjaran’ dengan penyusunan program – program berbentuk motivasi ruhani, pengajian Al Quran dan seumpamanya. Hal ini dapat direalisasikan dengan penubuhan kor agama ini sekiranya dapat dipersetujui diperingkat PDRM dan jemaah menteri. Bahkan ia juga dapat menyahut seruan memanda perdana menteri untuk membawa penerapan Islam Hadhari di dalam badan polis dan mampu diimplementasi serta dimanifestasikan melalui kor agama polis.

Secara tuntasnya, komitmen yang tinggi amat diperlukan dalam menghidupkan budaya beragama dalam berkerja. Kita menantikan dan mengharapkan satu perubahan yang diterajui dibawah kepimpinan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan yang menunjukkan ketelusan dan komitmen terutama dalam membasmi rasuah. Mudah – mudahan Kor Agama Polis dapat direalisasikan demi kepentigan masyarakat dan Negara.

No comments:

:: TranungKite Online v3 ::