Sunday, March 11, 2007

Kenyataan Akhbar: ELAKKAN PERPECAHAN UMMAT DARI ISU FURU’IAH

Oleh:
Muhammad Hafiz bin Badarulzaman
Timb. Presiden 1
Kelab Ma’ruf
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


ELAKKAN PERPECAHAN UMMAT DARI ISU FURU’IAH

Sejak kebelakangan ini, isu berkenaan masalah khilafiah semakin menjadi – jadi di kalangan masyarakat kita. Penyakit ini semakin parah dan menjadi barah apabila mula membiak kembang dikalangan mahasiswa sendiri. Kuliah dan lapangan ilmu tidak lagi menjadi fungsi untuk menyatukan ummat tetapi dijadikan medan serangan keatas kumpulan – kumpulan yang mengaku mereka berada di landasan yang benar.

Apa yang mengecewakan ialah tindakan melabel dan menjenamakan keatas kumpulan yang terbabit satu perkara yang menyedihkan. Maka terhasilah gelaran dan label seperti syiah kononya terlalu taksub kepada mazhab dan dikatakan imam mazhab tidak boleh ditegur sedangkan imam mazhab bagi mereka tidak maksum. Ini merupakan salah satu pendapat dari sebuah kumpulan. Manakala perkara yang sama turut berlaku kepada kumpulan lain yang menyatakan bahawa mereka yang menyebarluas fahaman dan pendidikan bidaah dalam agama serta membidaahkan masyarakat adalah menyeleweng. Gerakan itu adalah bersalahan dan bertentangan dengan fahaman ahli sunnah waljamaah dakwa mereka. Sedangkan apabila diteliti hujah dari kedua kumpulan yang mendakwa mereka adalah ahli sunnah yang sebenar, maka kita akan dapati bahawa kedua pendapat yang dihuraikan dan dibentangkan itu adalah benar belaka.

Hakikatnya ialah perbahasan mereka sekadar berkitar dikalangan perkara yang tidak ada nas qat’ie yang tepat atau ’direct’ kepada pengharaman dan penegahan sesuatu amalan atau ibadah. Kita perlu yakin dan percaya bahawa masalah atau perkara cabang (furu’iah) seperti bacaan qunut, talafuz binniyat, zikir dan wirid selepas solat, talqin dan tahlil serta lain – lain merupakan ibadah yang telah dilaksanakan untuk mendapatkan keampunan dari Allah. Permasalahan ini bagaimanapun menimbulkan perselisihan pendapat (ikhtilaf) dikalangan ulama’ kerana tiada hadis qati’e yang mengharamkannya. Sebagai contoh kepada bacaan qunut, apa yang diamalkan di Masjid Nabawi dan di Masjid al-Haram tidak boleh dijadikan hujah dalam hal ini, ini kerana mereka bermazhab Hanbali. Dalam mazhab Hanbali, bacaan qunut dalam solat Subuh tidak dituntut. Adapun kita masyarakat di Malaysia bermazhab Syafie, sudah semestinya pengamalan mazhab Hanbali tidak sama dengan mazhab Syafie. Apabila seseorang meninggalkan bacaan qunut maka sunat baginya untuk menggantikan dengan sujud sahwi kerana bacaan qunut adalah sunat ab’ad bagi mazhab Syafie. Ini dinyatakan oleh Sheikh Syamsuddin Muhammad al-Khatib al-Syarbaini di dalam karyanya Al-Iqna’, beliau menyatakan: “… sunat ab’ad yang kedua dituntut sujud sahwi ialah qunut pada rakaat yang kedua dalam solat Subuh… ”(jilid 1, hlm 318). Secara tuntasnya bacaan qunut tidak perlu disanggah dan kepada mereka yang tidak mahu mengamalkannya maka hukumnya ialah tidak berdosa kerana ia hanya perbezaan pendapat antara mazhab Hambali dan Syafie.

Sebagai mewakili mahasiswa, saya melihat pertelingkahan ini tiada kesudahan sekiranya masing – masing tidak menerima pandangan lain. Mereka seharusnya bersifat terbuka dan bertoleransi sepertimana yang telah diamalkan oleh mujtahid dan ulama’ muktabar terdahulu. Mari kita renung kembali kepada sirah para mujtahidin seperi Imam Malik dan Imam Syafie. Walaupun Imam Malik ialah guru kepada Imam Syafie dan wujudnya perselisihan pendapat antara mereka berdua, Imam Syafie tidak pernah membantah dan menyalahkan gurunya. Bahkan tiada sebarang bentuk provokasi dan sanggahan yang menyatakan hanya mereka yang betul dan amalan yang dilakukan oleh gurunya adalah bid’ah. Masyarakat ketika itu aman dan tiada kegusaran kepada amalan mereka kerana dalil itu umum dan tidak terus kepada pengharaman amalan yang tiada nas qat’ie. Saya ingin mengajak semua lapisan dan komposisi masyarkat kita berfikir seketika mengapa dan kenapa kita perlu bertelingkah atas isu yang merugikan umat. Pihak musuh dan lawan pasti akan mentertawakan kita kerana kita tidak bersatu padu dan lebih banyak berpecah atas dasar masalah khilafiah. Perkara ini juga telah dinyatakan oleh Imam Mana’ Al Qattan di dalam kitabnya, Halangan Perlaksanaan Syariah Islamiyah bahawa pihak musuh terutamanya CIA akan memastikan penyuburan masalah khilafiah dan menyemarakkannya dan memastikan umat Islam akan berpecah belah. Bunga – bunga ini semakin berkembang terutamanya di negara Iraq apabila puak Syiah dan Sunni berperang sesama sendiri.

Oleh yang demikian, marilah kembali kepada jalan dan suluk yang sebenar. Kita seharusnya berjuang dan mendepani isu – isu antarabangsa dan isu – isu kontroversi kini seperti masalah murtad, transaksi muamalat Islam, budaya hedonisme yang melanda umat Islam dan sebagainya. Janganlah kita mencemar dan menggunakan institusi mufti, masjid dan agama untuk menyemarakan pertelingkahan furu’iah ini. Ini merugikan semua pihak dan memecahbelahkan ummat. Sebenarnya tiada di kalangan mereka yang salah kecuali perkara ini diperbesarkan atas sentimen ego dan ’keras kepala’ kerana tidak mahu menerima pendangan selain pandangan mereka. Maka kita harus kembali kepada pelbagai sumber rujukan untuk mengelakkan kepada pegangan sumber yang satu. Malahan Islam itu berkembang atas 3 paksi ilmu iaitu Aqidah, Syariah dan Tasauf. Ketiga – tiga ilmu ini perlu dikuasai agar dapat mengimbangi diri kita dari hanyut dalam pandangan yang satu. Ini digambarkan di dalam kitab Al Hikam karangan Imam Tajuddin Ataullah Iskandari bahawa ”ilmu yang berkaitan fizik manusia ialah fiqh dan syariat manakala ilmu yang berkaitan batin ialah ilmu tasawuf. Sebelum mendalami ilmu syariah dan tasawuf perlunya kepada pemahaman aqidah. Ilmu syariah (fiqh) dan tasawuf (akhlak) itu tidak boleh dipisahkan.” itulah rantaian dan nukilan yang begitu manis untuk kita sebagai umat kini. Bagi yang mendalami ilmu tasawuf sudah pasti mereka akan meneladani Imam Al Ghazali yang kaya dengan saranan terhadap akhlak dan adab kehidupan. Adab dan akhlak ini perlu diterapkan dalam perbezaan pendapat agar kita tidak riya, ujub dan sum’ah terhadap pandangan kita. Itulah kehebatan ilmu tasawuf yang menggalakkan pengikutnya (muqallid) agar menyucikan hati (tazkiyatun nafsi) dengan banyak berzikir dan zikir – zikir ini bukanlah amalan bid’ah tetapi satu pendekatan (taqarrub) kepada pencipta dan membuahkan satu akhlak mahmudah yang sedia bertoleransi berkenaan perkara – perkara (cabang).

Kenyataan Akhbar : Tahniah dari Mahasiswa atas penganjuran Persidangan Antarabangsa Dedahkan Jenayah Peperangan

Oleh:
Muhammad Hafiz bin Badarulzaman
Timb. Presiden 1
Kelab Ma’ruf
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Tahniah dari Mahasiswa atas penganjuran Persidangan Antarabangsa Dedahkan Jenayah Peperangan


Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad di atas kesungguhan dan usaha yang ditunjukkan oleh beliau bagi menjamin keamanan dunia dengan menganjurkan Persidangan Antarabangsa ‘Dedahkan Jenayah Peperangan - Jenayahkan Perang’ di Pusat Dagangan Dunia Putra. Program yang berlangsung selama tiga hari ini dianjurkan oleh Yayasan Kepimpinan Perdana yang diterajui beliau mendapat sambutan yang begitu menggalakkan dari semua lapisan masyarakat. Selain itu, ucapan penghargaan juga diucapkan kepada seluruh IPTA yang membenarkan para mahasiswa terbabit secara langsung dalam persidangan yang penuh bermakna ini. Persidangan ini telah membawa seribu satu erti penderitaan yang ditanggung oleh mangsa – mangsa perang. Pelbagai gambaran dan peristiwa perang telah dinukilkan melalui pameran yang disediakan. Kesan bunyi dan efek di dalam bilik pemeran perang merupakan satu sentuhan baru yang telah menyentuh hati ramai pengunjung persidangan ini.

Pengisian yang diberikan dalam persidangan amat bermakna kerana ia telah disampaikan oleh para saintis, aktivis perang, peguam dan ahli akademik. Di samping itu, pendedahan yang telah dibuat oleh mangsa kekejaman perang di Iraq dan Palestin menarik perhatian peserta persidangan kerana mereka telah membongkar segala rahsia semasa pendudukan askar marin Amerika Syarikat dan Israel yang selama ini ditutup dan dihentikan penyiaran oleh media antarabangsa. Namun perkara yang menarik perhatian ramai mahasiswa dan peserta sepanjang persidangan ini ialah prosiding permulaan terhadap penjenayah perang dan secara resolusinya maka tertubuhlah Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur dan Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur. Mahasiswa khususnya dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menyambut baik cadangan tersebut sebagai badan yang akan meniliti dakwaan jenayah yang dilakukan oleh tiga pemimpin dunia iaitu Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush, Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan Perdana Menteri Australia, John Howard. Kami akan sentiasa berdiri seiring dan senada dengan Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad dalam memperjuangkan isu antarabangsa ini.

Isu ini perlu diberikan penelitian khusus oleh para pensyarah dan penyelidik dalam menanganinya. Mahasiswa juga perlu mengkaji bentuk dan peranan yang dapat dimainkan bersama untuk kedamaian dunia dan antarabangsa. Sebagai usaha permulaan, saya ingin mencadangkan agar seluruh mahasiswa dari setiap institusi pengajian tinggi negara dapat mengadakan pelbagai bentuk program kesedaran anti peperangan dan keganasan melalui kerjasama Yayasan Kepimpinan Perdana dan juga Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur. Hal ini kerana suruhanjaya dan tribunal perang yang ditubuhkan telah dianggotai oleh mereka yang rata – rata memahami undang – undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Maka ia merupakan satu kerugian besar sekiranya peranan mereka dikesampingkan dalam sebarang bentuk diskusi ilmiah di peringkat universiti dan kebangsaan. Selain itu, mahasiswa juga diseru agar dapat menandatangani petisyen memerangi peperangan dunia yang telah dianjurkan oleh yayasan terbabit. Ini sebagai langkah awal untuk menyokong suruhanjaya yang ditubuhkan baru – baru ini. Di samping itu, penubuhan suruhanjaya ini perlu disokong oleh pemimpin seluruh Negara di dunia. Bahkan pemimpin negara yang mengetuai sesebuah organisasi yang mengumpulkan ramai pemimpin Negara seperti pertubuhan OIC, NAM, ASEAN dan PBB sendiri perlu mengeluarkan resolusi menyokong penuh tribunal dan suruhanjaya yang ditubuhkan di Kualal Lumpur. Ini bagi memudahkan gerak kerja dan seterusnya membawa seluruh penjenayah perang ke muka keadilan. Maka secara tidak langsung suruhanjaya ini tidak keseorangan malah diperakui kewujudannya oleh pemimpin dunia.Semoga kedamaian dan keamanan dunia bakal dikecapi oleh seluruh warga antarabangsa ketika usaha yang dilaksanakan ini dimaksimumkan perananya oleh mahasiswa.

:: TranungKite Online v3 ::