Monday, April 30, 2007

Kenyataan Akhbar : PROGRAM PRAKTIKAL MAMPU WUJUDKAN MAHASISWA BERDAYA SAING

Program Praktikal yang diadakan di seluruh IPTA perlu diteruskan demi melahirkan graduan yang berkualiti pada masa akan datang. Program yang dijalankan ketika cuti semester ini telah memberikan pelbagai manfaat kepada penuntut institusi pengajian tinggi. Menerusi program ini ramai mahasiswa belajar dan memahami situasi dalam mendapatkan peluang pekerjaan. Disamping itu juga, aktiviti ini memberikan pelbagai pengalaman indah ketika bekerja melalui pengawasan pihak yang terbabit (supervisor).

Namun begitu program praktikal ini perlu diperluaskan kepada semua fakulti dan kuliyah pengajian samada di universiti awam atau swasta. Buat masa ini program seumpama ini hanya ditumpukan kepada fakulti pengajian yang bersifat professional dan kritikal seperti undang–undang, perubatan, kejuruteraan dan sebagainya. Pendedahan program praktikal ini agak berkurangan dikalangan mahasiswa aliran sastera dan agama. Sekiranya perkara ini berlarutan maka pasti berlaku ketidakseimbangan dari segi kebolehan dan kemahiran antara mahasiswa di universiti itu. Selain itu, saya juga berpandangan agar semua pihak memberi ruang dan peluang kepada mahasiswa untuk berpraktikal samada di bidang kerajaan mahupun swasta. Hal ini kerana terdapat di beberapa sector swasta yang tidak mahu menerima pelajar praktikal kerana mereka berpendapat bahawa pelajar ini perlu diajar dan dididik dan ia akan membuang masa pegawai yang bekerja di tempat tersebut. Dengan mempunyai sikap dan pandangan sedemikian ia akan merencatkan proses pembinaan karektor dan perwatakan graduan yang berkemahiran.

Sesungguhnya aktivitidan program praktikal ini akan memberikan seribu satu pengalaman yang bernilai kepada mereka yang berjaya mengikuti sehingga akhir program praktikum. Saya yang menuntut dalam bidang undang-undang telah mengikuti proses ini pada tahun lalu di salah satu jabatan kerajaan iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dibawah pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Program yang memakan masa selama sebulan di sana telah memberikan pendedahan melalui beberapa bahagian dibawah IPD antaranya seperti bahagian keselamatan dan ketenteraman awam, bahagian pengurusan, bahagian jenayah dan sebagainya. Melalui proses ini juga sebagai contoh, saya bersama rakan – rakan lain kini memahami betapa susah dan perit menjawat sebagai anggota penguatkuasa keselamatan awam. Mereka terpaksa bertugas hampir 24 jam sehari hanya untuk memastikan keselamatan awam dilindungi. Hasil melalui proses praktikal ini, mahasiswa perlu menyumbang dengan memberi pemahaman kepada masyarakat berkenaan jabatan yang diturutinya. Kini, buat kali kedua saya mengikuti program praktikal di sebuah firma guaman yang terletak di Bandar Sungai Petani, Kedah. Pelbagai pendedahan disalurkan oleh peguam melalui prosedur mahkamah, kontrak dan perjanjian dan termasuklah pendedahan kepada proses sita dan lelongan.

Oleh itu, program praktikal ini perlu dihayati dan bukan menganggap ia sebagai satu bebanan dan mengganggu musim percutian mahasiswa. Bahkan ia bakal menjadi satu indikator terbaik untuk diri sendiri sebagai usaha memenuhi saranan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang mahu melahirkan pelajar dan graduan yang mempunyai sifat pemikir dan bukan sekadar berorientasikan peperiksaan (exam oriented). Sifat dan budaya pemikir tersebut dapat diterjemahkan melalui proses praktikal yang dijalankan oleh mahasiswa berkenaan.

:: TranungKite Online v3 ::