Wednesday, October 04, 2006

Suhakam minta saksi tampil beri keterangan

Oleh:Soon Li TsinOct 4, 06 1:54pm

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meminta mereka yang menyaksikan kejadian di mana pihak polis didakwa menggunakan kekerasan ketika meleraikan perhimpunan membantah kenaikan harga minyak dan elektrik pada 28 Mei lalu, supaya tampil memberi keterangan dalam satu inkuiri yang bermula esok.

Dalam satu kenyataan, suruhanjaya itu berkata, siasatan masih diteruskan dan sapena akan dikeluarkan tidak lama lagi kepada para saksi yang berkaitan. Sehingga ini, ia telah mengambil kenyataan daripada 37 orang. Sewaktu kejadian tersebut, pihak polis didakwa telah bertindak ganas terhadap kira-kira 50 orang yang mengadakan bantahan terhadap kenaikan harga minyak dan kadar elektrik di luar KLCC. Seramai 20 orang ditahan, termasuk daripadanya yang cedera parah – seorang terpaksa menerima lima jahitan di kepalanya, manakala seorang lagi patah tangan. Polis bagaimanapun mempertahankan tindakan mereka itu, dengan mengatakan anggotanya hanya bertindak secara minima sewaktu kejadian tersebut. Orang ramai dan wakil media yang menyaksikan kejadian tersebut atau mempunyai maklumat penting mengenainya, diminta menghubungi pegawai Suhakam, Nurul Hasnah atau Long Seh Lih di talian 03-2612 5600/5602 atau menghantar e-mel kepada humanrights@suhakam.org.my Tarikh bagi inkuiri tersebut ditetapkan pada 5-6 Oktober, 11-13 Oktober dan 16-18 Oktober dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang di Bilik Inkuiri Suhakam, Tingkat 29, Menara Tun Razak, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Inkuiri kelimaInkuiri tersebut akan dikendalikan Datuk KC Vohrah, Datuk Dr Michael Yeoh and Datin Paduka Zaitoon Othman, Datuk Choo Siew Kioh. Panel tersebut akan menentukan sama ada berlaku sebarang pelanggaran hak asasi manusia dan jika ada: – Individu dan agensi mana yang bertanggungjawab terhadap pelanggaran tersebut; – Bagaimana pelanggaran itu berlaku; – Arahan dan prosidur atau peraturan yang menyebabkannya, dan – Apakah langkah yang disyorkan diambil bagi memastikan pelanggaran itu tidak berulang. Inkuiri awam itu adalah yang kelima diadakan oleh Suhakam sejak penubuhannya pada 1999. Inkuiri yang telah diadakan sebelum ini ialah mengenai kejadian perhimpunan rakyat di Lebuhraya Kesas (2001); keadaan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (2002), dakwaan layanan buruk pihak polis terhadap penduduk asal kampung di Sabah (2004); dan kematian S Hendry dalam tahanan polis (2006).

:: TranungKite Online v3 ::