Thursday, May 17, 2007

Bahagian Kedua (2)

Cabaran Awal pemerintahan AKP

Cabaran yang perlu ditempuhi Erdogan bukan sehari-dua. Namun krisis kepimpinannya yang disyaki berbaur ‘Islamis’ mudah dihidu oleh mereka yang tegar dengan pegangan sekular. Maka serangan bertalu –talu diberikan dari setiap sudut. Pada tahun 2002 misalannya telah diadakan pertemuan Ketua Turus Tentera, Jeneral Hilmi Ozkok dan beberapa orang jeneral yang menggelar diri mereka sebagai pelindung sistem sekular Turki bersama Perdana Menteri ketika itu iaitu Abdullah Gul. Dalam pertemuan itu mereka mendesak agar kerajaan Islam yang disingkirkan pada 1997 dan puak radikal Islam perlu dianggap sebagai ancaman utama negara. Ini merupakan satu cabaran besar kerana Erbakan yang merupakan perdana menteri ketika itu adalah mentor kepada Erdogan. Taktik dan strategi kini perlu diatur oleh Erdogan agar beliau dapat menyelamatkan ‘mereka’ yang pernah bersamanya ketika dahulu. Selain itu, dalam pertemuan yang sama para jeneral itu meminta kerajaan supaya tidak mengubah undang-undang yang mengharamkan kakitangan wanita kerajaan dan para pelajar memakai tudung kepala di tempat awam atau di kampus-kampus. Ini berikutan tindakan Speaker Parlimen, Bulent Arinc menghadiri satu majlis rasmi kerajaan dengan ditemani oleh isterinya yang memakai tudung. Oleh itu, Presiden Ahmed Necdet Sezer mendesak kerajaan supaya mengesahkan undang-undang sekular. Hal ini kerana kebanyakan rakyat Turki percaya bahawa tudung yang dipakai adalah bertujuan untuk menunjukkan sokongan terhadap parti-parti politik Islam.

Ranjau berduri kini kian berbisa apabila ratusan ribu manusia yang memegang panji sekular mula berhimpun dan berdemonstrasi secara raksasa dan besar-besaran. Mereka membantah supaya system secular ini dipertahankan dan kononnya untuk mengelakkan dari dimamah secara rakus oleh parti AKP yang bagi mereka parti berhaluan Islam. Namun suara mereka hanya boleh dianggap minoriti kerana Turki merupakan sebuah Negara yang berkependudukan 68 juta terdiri daripada 99.64 peratus Islam, Kristian (0.32) dan Yahudi (0.04). Jumlah ini adalah 3 kali ganda lebih besar berbanding purata penduduk Malaysia. Sungguhpun begitu, bantahan itu tetap memberikan impak besar terhadap ‘mood’ rakyat Turki di bawah kepimpinan kerajaan yang memerintah. Mereka memegang slogan menyokong sekular dan juga membawa poster bapa permodenan Turki, Mustapha Kamal Attaturk menjelaskan segala kehendak rakyat yang tidak inginkan syiar dan lambang Islam kian membiak di Negara mereka. Hari demi hari rakyat mula bangkit menentang dan menyebabkan pilihanraya umum telah ditetapkan pada 22 Julai 2007 oleh Parlimen Turki. Ini merupakan satu jalan keluar keluar mengatasi krisis kerajaan yang berpunca daripada perbalahan mengenai Islam dan golongan elit sekular yang terdiri dari parti pembangkang, tentera dan hakim.

Hari – Hari Terakhir Menghitung AKP
Parlimen meluluskan tarikh itu selepas kesemua 458 anggota mengundi dengan menyokongnya. Keputusan untuk mengadakan pilihanraya umum ini adalah rentetan dari keputusan mahkamah yang membatalkan pengundian pusingan awal pemilihan Presiden. Pengundian dibatalkan kerana tindakan pembangkang yang memboikot pengundian Presiden di Parlimen. Pemilihan Presiden diadakan kerana penggal pemerintahan bagi Presiden sekarang, Ahmet Necdet Sezer, berakhir pada 16 Mei ini. Semasa menjadi Presiden, beliau dikenali sebagai bekas hakim yang sangat sekular dan sering bertelagah dengan kerajaan AKP. Manakala Abdullah Gul yang dinamakan oleh parti AKP sebagai calon untuk pemilihan Presiden ke-11 dijangka menang kerana beliau merupakan seorang diplomat yang dihormati dan telah memainkan peranan utama dalam pelancaran rundingan mengenai keanggotaan Turki dalam Kesatuan Eropah (EU). Walaubagaimanapun, tindakan memboikot parti pembangkang menyebabkan Menteri Luar Turki itu hanya memperoleh 357 undi, kurang 10 undi berbanding 367 undi yang diperlukan untuk dipilih dalam pusingan pertama pada bulan lalu. Parti-parti pembangkang yang memulaukan pengundian itu memohon Mahkamah Perlembagaan membatalkannya atas alasan Parlimen tidak cukup kuorum dan mahkamah membenarkannya. Malang tidak berbau dan sekali lagi beliau turut ditimpa nasib yang sama pada pemilihan yang kedua apabila 358 undi sahaja yang berjaya dicabut. Mahkamah Perlembagaan Turki memutuskan bahawa seramai dua per tiga atau 367 orang anggota Parlimen perlu hadir untuk dianggapkan sebagai pemilihan yang sah. Maka Erdogan telah merancang dan bersetuju untuk mempercepatkan proses pilihanraya. Baginya, beliau melihat bahawa system Parlimen telah disekat apabila menghadapi tentangan sengit dari tentera dan pembangkang. Beliau mahu rakyat menghitung dan memilih kepimpinan yang dikehendaki mereka dan mahu posisi Presiden dipilih melalui rakyat dan bukan parlimen. Ini bermaksud beliau ingin menguji sokongan rakyat terhadap pembawakan Islam dan sekular. Sekiranya rakyat menerima parti AKP dan menang dengan majority besar pada pilihanraya ini maka ia bakal membuka laluan mudah untuk memilih calon Presiden dari parti mereka.

Dalam tiga pilihan raya umum lalu, para pengundi telah memberi peluang kepada tiga parti: Pertama kepada parti radikal Parti Republikan (RP), kemudian kepada ultra nasionalis, Parti Tindakan Nasionalis (MHP) dan kini parti moderat Islam, AKP. Maka kekuatan AKP perlu ampuh dan jitu dalam mengharungi badai besar yang bakal melanda bulan Julai ini. Pertembungan antara pengaruh Islam dan Sekular tidak dapat dielakkan di Turki. Rakyat kini menjadi hakim kerana mereka tahu membezakan mana yang buruk dan mana yang baik. Persiapan dari sudut taktikal amat diperlukan Erdogan kerana impak pilihanraya ini bakal mencetuskan sinar dan petanda baru di bumi umat islam dan ia bakal turut disaksikan oleh Negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU). Namun disebalik senario politik yang begitu kontroversi, maka kita dapat melihat bahawa penduduk Turki yang didominasi oleh muslim masih berfikiran celaru dengan menolak Islam. Fikiran mereka disuburkan dengan sifat keduniaan dan kebendaan (materialisme). Mereka boleh dikategorikan sebagai masyarakat yang hilang identiti kerana roh khilafah Islamiyah sebenarnya bersemayam di bumi mereka.

No comments:

:: TranungKite Online v3 ::