Sunday, May 13, 2007

Kenyataan Akhbar: RANJAU BERLIKU POLITIK NASIONAL TURKI

Bahagian Pertama (1)
Khilafah Islamiah Turki
Turki merupakan salah sebuah negara Islam yang berada di dalam Pertubuhan Pergerakan Negara-Negara Islam (OIC). Negara yang berada antara benua barat dan timur ini menyikap pelbagai rahsia dan khazanah serta sejarah umat Islam. Segalanya bermula dengan kejatuhan Khilafah Uthmaniah pada tahun 1924. Nama kerajaan ini telah diambil daripada nenek moyang mereka yang pertama iaitu Sultan Osmani Ibnu Sauji Ibni Ortogul Ibni Sulaiman Shah. Pemerintahan ini telah bertahan di atas muka bumi sebahagian umat Islam selama 500 tahun yang telah merentasi segala tribulasi dan mehnah seperti mengharungi peperangan Salib dan penawanan Kota Konstantinople. Nama – nama besar seperti Sultan Muhammad Al Fateh dan Sultan Suleiman al-Qanuni (Suleiman the Magnificent) di awal pemerintahan Turki Uthmaniyyah begitu menyerlah dan seakan – akan bercahaya dengan gemilang. Bahkan kekuatan ketenteraannya turut diakui. Sebagai contoh tentera laut Uthmaniyyah mempunyai banyak pengaruh di Laut Mediterranean menjadikan perdagangan di sana berkembang dengan pesat disebabkan kestabilan perdagangan di situ. Zaman ini kemudiannya dikenali sebagai zaman "Pax Ottomanica" oleh orang Barat. Kemegahan kerajaan ini telah dijatuhkan oleh tangan anak bangsa dan penganutnya sendiri. Apabila kerajaan Islam ini diruntuhkan dari singgahsananya, maka bumi umat Islam telah ‘disita dan dilelong’ oleh kuasa – kuasa barat. Antara negara yang mendabik dada dalam menjajah negara umat Islam seperti British, Perancis dan Itali. Akhirnya umat Islam telah tenggelam dihanyut dengan krisis dan fenomena keruntuhan akidah, sosial, pemikiran, ekonomi dan sebagainya. Turki juga tidak lari dari musibah yang telah melanda teruk di negaranya apabila gerakan yang dipalsukan atas nama modenisasi yang dipimpin oleh Kamal Attaturk ini mencemarkan maruah majoriti besar umat Islam.

Sekularisme Turki
Sejarah politik Turki diwarnai dengan suka duka di bawah kawalan ketat tempurung sekularisme. Sekularisme merupakan satu istilah yang memisahkan sistem agama dari sistem pentadbiran Negara. Di dalam kata lain, agama dan negara merupakan perbezaan yang ketara dan tiada satu titik pertemuan serta tidak boleh dicampuradukan. Doktrin ini telah dibawa dan ‘dijaja’ oleh George Jacob Holyoake (1817-1906), seorang sarjana Inggeris, sebagai sebuah gagasan alternatif untuk mengatasi ketegangan berpanjangan antara pemerintah agama dan pemerintahan kerajaan di Eropah. Melalui konsep sekularisme, agama mempunyai pemimpinnya tersendiri dan begitu jua kepimpinan negara memiliki pemimpinya. Maka negara akan menguruskan politik dan agama menguruskan ajaran agama dan ia telah berjaya diasing - asingkan. Namun begitu, perkara ini sepatutnya tidak boleh dipisahkan kerana di dalam Islam, urusan agama, kehidupan dan politik tidak boleh dipisahkan.

Nasib Politik Islam di era Necmettin Erbakan
Pada penghujung 1995, sejarah turki telah melakarkan kemenangan Parti Kebajikan dan Parti Demokrasi Rakyat (HADEP) yang pro-Kurdis. Walaupun begitu, Parti Kebajikan berhaluan Islam telah diharamkan dan pemimpinnya, Necmettin Erbakan - bapa pergerakan Islam moden - tersingkir daripada bidang politik setelah setahun menjadi Perdana Menteri. Erbakan ditentang oleh puak yang telah selesa hidup dengan cara Barat. Antaranya mereke menentang kerena beliau tidak tahu bahasa asing, menentang alkohol dan perancangan keluarga, isteri dan dua anaknya memakai tudung, amalan yang diharamkan di universiti dan pejabat awam kerana ia lambang politik yang ekstrem. Ramai yang berpandangan bahawa serangan terhadap Parti Kebajikan dan kemudiannya HADEP menggambarkan strategi seragam pada bahagian badan politik yang penuh dengan sekularisme dan nasionalisme Turki. Tentera Turki melancarkan 'rampasan kuasa lembut' terhadap pemimpin Parti Kebajikan yang ketika itu ialah Perdana Menteri iaitu Erbakan pada 28 Februari 1998, melalui mesyuarat Majlis Keselamatan Negara. Sebelum ini tentera telah menggulingkan tiga kerajaan awam melalui kekerasan. Kali ini mereka menggunakan Majlis Keselamatan Negara yang bertanggungjawab mempertahankan perlembagaan dan didominasi oleh askar-askar, untuk melemahkan Erbakan dalam tindak balas terhadap siri inisiatif Islam sederhana. Beliau dipaksa meletak jawatan pada Jun 1998.

Di saat itu juga mahkamah perlembagaan telah mengharamkan Erbakan dan Parti Kebajikannya, apabila keputusan yang berkuat kuasa pada 22 Februari 1998. Seminggu sebelum itu, pendakwa raya mengarahkan penangkapan pemimpin HADEP atas dakwaan mempunyai hubungan dengan puak pemisah bersenjata. Nasib yang sama turut menimpa parti yang menggantikan Parti Kebajikan apabila diharamkan kerana kegiatan antisekularnya pada tahun 2001. Tentera Turki sebelum ini sering menyingkirkan kerajaan awam sejak 1960 dan yang terakhir pada 1997 iaitu Parti kebajikan. Tanggapan pertama yang dapat kita simpulkan ialah perubahan drastik yang ingin dilakukan oleh Parti Kebajikan (Refah) terhadap masyarakat Turki yang dikongkong oleh pemahaman sekular mungkin belum boleh diterima oleh mereka. Hal ini turut ditimpa oleh Gerakan Pemuda Mesir di awal tahun 1950an yang begitu agresif memusnahkan kedai – kedai arak yang menyebabkan ramai di kalangan mereka merengkok di dalam penjara. Oleh itu, Ikhwan Muslimin sebuah parti yang dipimpin oleh Imam Hasan Al Banna telah menegaskan bahawa tindakan pemuda terbabit belum sampai waktunya lagi kerana dakwah perlu dijalankan dengan hikmah dan beransur –ansur dalam memenangi hati rakyat. Maka strategi yang sama sepatutnya diaplikasikan oleh Parti kebajikan.

Sejarah Awal Perjuangan Reccep Tayyib Erdogan
Zaman bersilih ganti selepas beberapa tahun kelompok yang menyokong Islam telah diharamkan sepenuhnya kini mereka bangkit semula. Namun kebangkitan mereka disamarkan dari wajah konservatif Islam kepada wajah yang pro-barat dan menyokong negara sekular. Mereka menolak label Islam dan menyifatkan diri mereka sebagai gerakan konservatif pro-Barat yang digambarkan oleh sesetengah pemerhati sebagai `demokrat Islam'. Siapa yang tidak kenal pemimpin utama Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) iaitu Recip Tayyip Erdogan. Ketika berada di bangku pengajian di universiti beliau merupakan penuntut aliran ekonomi menyokong penuh gerakan yang dipimpin oleh Necmettin Erbakan, mentor politik Islam di Turki yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri Islam pertama negara itu. Selain itu, Erdogan pernah berada di kerusi empuk pentadbiran awam apabila dilantik menjadi Datuk Bandar Istanbul pada tahun 1994. Pada waktu itu, beliau sangat popular terhadap program yang dilaksanakannya seperti membersihkan jalan raya, membekalkan air yang bersih dan memulihkan sistem trafik di kota yang sesak dan sibuk dengan 10 juta penduduk itu mendapat sambutan ramai dan menggalakkan.

Sungguhpun begitu, langit tidak selalunya cerah dan awan tidak selalunya mendung. Beliau telah disabitkan mahkamah sebagai mencetuskan kebencian agama ketika menjadi Datuk Bandar Istanbul.pada tahun 1998. Empat bulan hukuman penjara terpaksa ‘ditempah’ oleh beliau daripada hukuman penjara 10 bulan yang dijatuhkan oleh mahkamah kerana membaca sebuah puisi dalam sebuah perhimpunan. Puisinya itu berbunyi: ``Masjid adalah berek kami, menara itu benet, kubah itu topi besi dan orang beriman adalah tentera kami.'' Setelah dibebaskan, beliau tidak lagi berbicara mengenai masjid bahkan turut membisukan diri dari menyindir dan mengutuk sistem sekular negaranya. Sejak dari itu beliau telah merancang strategi bagi menapak semula di arena politik dalam masa yang sama berusaha untuk menyebarkan syiar Islam yang semakin terkubur itu. Langkah demi langkah disusun rapi bagi menyembunyikan ‘imej islamik’ demi meraih simpati rakyat yang hampir majoritinya berpemikiran sekular. Akhirnya atas nama parti yang baru untuk menghapuskan inflasi yang semakin tinggi dan tekanan ekonomi yang cukup mengancam, beliau kini telah diberi mandat besar untuk memimpin. Rakyat Turki telah memberi mesej jelas, mereka bosan dengan kepimpinan lama dan mahu kejujuran dan kerajaan demokratik yang sebenar. Dua parti yang mengecewakan pengundi sudah menerima hukuman dan kini parti Erdogan diberi peluang. Ketika kemenangan partinya di Turki pada awal bulan November tahun 2002, Akhbar Sabah telah merumuskan bahawa kemenangan Erdogan itu adalah satu kebangkitan `revolusi orang Anatolia' dan kehendak para pengundi yang menyingkirkan ahli politik lama sebagai satu `proses pembersihan besar-besaran’.

Perkara pertama yang akan dilakukannya selepas kemenangan ialah beliau berjanji akan mempercepatkan proses menyertai Kesatuan Eropah (EU) dengan menghantar wakil ke semua 15 negara anggota kesatuan itu bagi melobi pencalonan Turki. Inilah antara strategi bijak yang dilakukan oleh Erdogan demi menaikkan ‘political barometer’ parti yang dipimpinnya. Sejak AK mengambil alih kuasa, Erdogan melawat negara-negara utama Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) untuk menekankan komitmen beliau terhadap pembaharuan demokrasi dan ekonomi yang akan membuka jalan kepada Turki untuk menyertai EU. Walaubagaimanapun, Erdogan terpaksa menghadapi satu lagi cabaran yang perit apabila perlembagaan telah mengharamkannya dari menyertai piliharanya Parlimen. Memandangkan partinya telah menguasai dua pertiga majority Parlimen Turki, maka ia bukanlah suatu yang susah untuk meminda perlembagaan. Hasilnya parlimen meluluskan rang undang-undang untuk meminda perlembagaan bagi membolehkan pemimpin parti kerajaan, Tayyib Erdogan bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen. Rang undang-undang itu dipersetujui oleh 437 daripada 550 ahli Parlimen dengan 44 anggota menentang dan mencatatkan undi majoriti dua pertiga. Pindaan ini bukan sahaja mendapat sokongan padu dari ahli AKP malah mendapat persetujuan pihak pembangkang iaitu Parti Rakyat Republikan (CHP). Menurut CHP, pindaan itu merupakan satu langkah untuk meningkatkan pelaksanaan hak asasi manusia dan undang-undang politik negara itu dalam usaha melobi penyertaan di dalam EU. Walhal Presiden Turki, Ahmet Necdet Sezer menolak pindaan perlembagaan untuk menarik balik pengharaman ke atas pemimpin AK, Recep Tayyip Erdogan daripada menganggotai Parlimen. Namun tindakan beliau yang menolak pindaan itu tidak berkuasa dan berfungsi kerana Parlimen telah bersetuju.

No comments:

:: TranungKite Online v3 ::