Sunday, March 11, 2007

Kenyataan Akhbar : Tahniah dari Mahasiswa atas penganjuran Persidangan Antarabangsa Dedahkan Jenayah Peperangan

Oleh:
Muhammad Hafiz bin Badarulzaman
Timb. Presiden 1
Kelab Ma’ruf
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Tahniah dari Mahasiswa atas penganjuran Persidangan Antarabangsa Dedahkan Jenayah Peperangan


Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad di atas kesungguhan dan usaha yang ditunjukkan oleh beliau bagi menjamin keamanan dunia dengan menganjurkan Persidangan Antarabangsa ‘Dedahkan Jenayah Peperangan - Jenayahkan Perang’ di Pusat Dagangan Dunia Putra. Program yang berlangsung selama tiga hari ini dianjurkan oleh Yayasan Kepimpinan Perdana yang diterajui beliau mendapat sambutan yang begitu menggalakkan dari semua lapisan masyarakat. Selain itu, ucapan penghargaan juga diucapkan kepada seluruh IPTA yang membenarkan para mahasiswa terbabit secara langsung dalam persidangan yang penuh bermakna ini. Persidangan ini telah membawa seribu satu erti penderitaan yang ditanggung oleh mangsa – mangsa perang. Pelbagai gambaran dan peristiwa perang telah dinukilkan melalui pameran yang disediakan. Kesan bunyi dan efek di dalam bilik pemeran perang merupakan satu sentuhan baru yang telah menyentuh hati ramai pengunjung persidangan ini.

Pengisian yang diberikan dalam persidangan amat bermakna kerana ia telah disampaikan oleh para saintis, aktivis perang, peguam dan ahli akademik. Di samping itu, pendedahan yang telah dibuat oleh mangsa kekejaman perang di Iraq dan Palestin menarik perhatian peserta persidangan kerana mereka telah membongkar segala rahsia semasa pendudukan askar marin Amerika Syarikat dan Israel yang selama ini ditutup dan dihentikan penyiaran oleh media antarabangsa. Namun perkara yang menarik perhatian ramai mahasiswa dan peserta sepanjang persidangan ini ialah prosiding permulaan terhadap penjenayah perang dan secara resolusinya maka tertubuhlah Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur dan Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur. Mahasiswa khususnya dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menyambut baik cadangan tersebut sebagai badan yang akan meniliti dakwaan jenayah yang dilakukan oleh tiga pemimpin dunia iaitu Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush, Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan Perdana Menteri Australia, John Howard. Kami akan sentiasa berdiri seiring dan senada dengan Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad dalam memperjuangkan isu antarabangsa ini.

Isu ini perlu diberikan penelitian khusus oleh para pensyarah dan penyelidik dalam menanganinya. Mahasiswa juga perlu mengkaji bentuk dan peranan yang dapat dimainkan bersama untuk kedamaian dunia dan antarabangsa. Sebagai usaha permulaan, saya ingin mencadangkan agar seluruh mahasiswa dari setiap institusi pengajian tinggi negara dapat mengadakan pelbagai bentuk program kesedaran anti peperangan dan keganasan melalui kerjasama Yayasan Kepimpinan Perdana dan juga Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur. Hal ini kerana suruhanjaya dan tribunal perang yang ditubuhkan telah dianggotai oleh mereka yang rata – rata memahami undang – undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Maka ia merupakan satu kerugian besar sekiranya peranan mereka dikesampingkan dalam sebarang bentuk diskusi ilmiah di peringkat universiti dan kebangsaan. Selain itu, mahasiswa juga diseru agar dapat menandatangani petisyen memerangi peperangan dunia yang telah dianjurkan oleh yayasan terbabit. Ini sebagai langkah awal untuk menyokong suruhanjaya yang ditubuhkan baru – baru ini. Di samping itu, penubuhan suruhanjaya ini perlu disokong oleh pemimpin seluruh Negara di dunia. Bahkan pemimpin negara yang mengetuai sesebuah organisasi yang mengumpulkan ramai pemimpin Negara seperti pertubuhan OIC, NAM, ASEAN dan PBB sendiri perlu mengeluarkan resolusi menyokong penuh tribunal dan suruhanjaya yang ditubuhkan di Kualal Lumpur. Ini bagi memudahkan gerak kerja dan seterusnya membawa seluruh penjenayah perang ke muka keadilan. Maka secara tidak langsung suruhanjaya ini tidak keseorangan malah diperakui kewujudannya oleh pemimpin dunia.Semoga kedamaian dan keamanan dunia bakal dikecapi oleh seluruh warga antarabangsa ketika usaha yang dilaksanakan ini dimaksimumkan perananya oleh mahasiswa.

No comments:

:: TranungKite Online v3 ::