Tuesday, November 28, 2006

Pertahankan Sistem Keadilan Kehakiman Negara

Oleh:
Muhammad Hafiz bin Badarulzaman
Timbalan Presiden 1,
Persatuan Mahasiswa Undang – Undang,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.


Di dalam sebuah Negara Demokrasi berparlimen, pemerintahan adalah berpaksikan kepada keadilan. Konsep keadilan dalam pentadbiran dapat dipasakkan sekiranya wujud implementasi konsep yang diperkenalkan oleh undang - undang dipanggil sebagai ‘seperation of powers’ atau pembahagian bidang kuasa. Pembahagian ini ditegakkan melalui tiga badan utama dalam sesebuah Negara iaitu badan kehakiman (judiciary), badan eksekutif (executive) dan badan perundungan (legislative). Ketiga-tiga teraju utama ini perlu bebas dan merdeka antara satu sama lain maka ia membuahkan sebuah Negara yang mengamalkan demokrasi tulen. Namun penulis akan menumpukan nukilan ini kearah badan Kehakiman Negara. Badan ini merupakan badan agung yang disanjung tinggi dan dihormati oleh rakyat kerana segala masalah berkaitan tuntutan sivil dan jenayah serta syariah dikemukan dihadapan hakim yang arif lagi bijaksana dalam menafsir undang – undang untuk menegakkan keadilan sejagat (natural justice). Namun, krisis kehakiman yang berlaku hampir dua dasawarsa mencemar dan mencalarkan badan keadilan itu.

Kronologi Krisis Kehakiman

Krisis kehakiman (judicial crisis) yang berlaku pada tahun 1988 mula dibongkarkan oleh mantan hakim – hakim mahkamah tinggi dan mahkamah agung, majlis peguam Malaysia, NGO dan sebagainya. Krisis ini berlaku apabila pemecatan Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dan juga dua daripada lima orang Hakim Mahkamah Agung iaitu Allahyarham Tan Sri Wan Pawanteh dan Datuk George Seah. Tun Salleh Abbas telah dituduh sebagai berkelakuan tidak sopan (misbehave) ketika berada ditampuk Ketua Hakim Negara kerana telah mengutus surat kepada Yang Dipertuan Agong tanpa persetujuan hakim keseluruhannya. Natijah daripada tindakan itu, beliau telah dihadapkan kemuka tribunal yang ditubuhkan untuk mengadili beliau. Hasil keputusannya ialah beliau dipecat dan seterusnya sekali lagi tribunal diadakan selepas kes beliau bagi mengadili lima hakim mahkamah agung dan diputuskan bahawa dua daripada mereka dipecat dari posisi tersebut. Tribunal itu dianggotai oleh 6 orang hakim yang terdiri dari 2 hakim komanwel, 2 hakim yang masih aktif dan 2 hakim bersara.

Setelah hampir 18 tahun kes ini berlaku, rakyat dan para peguam muda serta ‘senior’ tidak dapat menghadamkannya dengan begitu mudah. Kejutan demi kejutan telah berlaku. Mutakhir ini timbul kembali tuntutan untuk menyemak semula kes dengan semakan kehakiman (judicial review) kerana terdapat tanda – tanda dan bukti yang meragukan (suspicious). Pada bulan Ogos tahun ini, Majlis Peguam telah menuntut supaya kes ini disemak semula kerana menurut presidennya, En. Yeo Yang Poh, tuntutan in kearah mengembalikan semula kebebasan kehakiman (indepence of judiciary). Sungguhpun begitu, tuntutan ini dipatahkan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohammad Nazri Aziz. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Kaukus Hak Asasi Manusia Parlimen Malaysia menegaskan bahawa kes tersebut sudah ditutup (final) dan tiada sebab dan bukti kukuh untuk disemak semula. Pada mulanya rakyat dan para peguam menyambut baik apabila beliau sudi untuk menyemak semula namun kekecewaan timbul apabila beliau mensyaratkan kes akan dibuka semula jika ‘fakta baru dan penting’ muncul. Selain itu, beliau menambah sekiranya tuntutan ini dibenarkan maka akan berlaku permintaan dan tuntutan serupa keatas kes-kes yang lain (floodgates) untuk semakan kehakiman.

Argumentasi Pakar – Pakar Kehakiman

Menurut Tan Sri Azmi Kamaruddin, yang merupakan Mantan Hakim Mahkamah Agung, beliau menyokong penuh supaya semakan kehakiman dilaksanakan. Hal ini kerana, bagi beliau Tun Salleh Abbas tidak membuat sebarang rayuan untuk kes tersebut serta Tun juga tidak berada di hadapan tribunal secara langsung maka secara faktanya, tiada sebarang perbicaraan (hearing) berlaku. Beliau juga berpandangan bahawa perbicaraan tribunal kedua yang telah melarang wartawan dan rakyat dari mendengar dan menuruti sepanjang kes itu merupakan satu tindakan yang meragukan. Oleh itu, perbicaraan itu seakan menjadi perbicaraan rahsia dan tertutup.

Walaupun tindakan itu seakan ingin melindungi hak hakim dari pandangan masyarakat umum namun kesemua hakim yang dibicarakan itu mahu hak mereka (perbicaraan tertutup) disingkirkan dan diketahui umum. Secara keseluruhannya, Tan Sri Azmi menegaskan bahawa tindakan Tun bukan ingin mengembalikan semula beliau ke kamar Ketua Hakim Negara kerana beliau sendiri telah tua. Bahkan beliau juga bukan berharap untuk mendapat ganti rugi dan remedi samada RM 2 juta atau RM 3 juta tetapi beliau ingin memastikan Perkara 121 Perlembagaan Malaysia dihayati dan diimplementasi sepenuhnya. Di samping itu, kuasa hakim dalam membuat keputusan berani dan telus tanpa takut dan memihak kepada sesiapa (withour fear & favour) dikembalikan dan diperkasakan.

Sejajar dengan saranan itu, Bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Anuar Zainal Abidin turut bersetuju agar kes ini disemak semula. Beliau yang dikenali di kalangan warga perundangan selalu lantang dalam memberikan pandangannya bersetuju bukan kerana Tun Salleh Abbas tetapi terhadap kuasa badan kehakiman. Ini dijelaskan beliau ketika diwawancara oleh Mingguan Malaysia bahawa semakan kehakiman perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Semakan ini akan mengkaji alasan, hujah dan bukti atas keputusan yang dijatuhkan pada waktu dulu. Walaubagaimanapun, natijah semakan tidak semestinya mahkamah perlu bersetuju di atas tuntutan terbabit. Bahkan semakan tersebut kadang – kadang berpihak kepada keputusan asal sesuatu kes. Selain itu, semakan tidak dilakukan hanya kerana badan kehakiman tidak bersetuju dan anti eksekutif tetapi ia dilakukan dengan penuh hati – hati dan teliti tanpa sebarang prejudis dan niat buruk.

Rasional Semakan Kehakiman untuk Krisis Kehakiman 1988

Sebagai mahasiswa di IPTA perdana, penulis melihat semakan ini perlu dijalankan. Peluang perlu diberikan untuk generasi dan warga perundangan yang masih lagi baru di dalam lapangan undang – undang untuk melihat perkara sebenar. Selama ini rakyat terutamanya mahasiswa hanya didedahkan kepicangan kehakiman tahun 1988 melalui buku – buku teks undang – undang, forum intelek dan pandangan tokoh – tokoh hakim Negara serta pakar perlembagaan. Kesahihannya bagai tergantung di awangan kerana tiada siapa dapat mengesahkannya. Oleh itu, untuk menjernihkan keadaan yang semakin keruh semakan kehakiman perlu dilaksanakan oleh mahkamah.

Pandangan yang menyatakan bahawa kes ini sudah ditutup dan tidak perlu disemak semula merupakan pandangan yang kurang tepat. Kes yang ditutup dan tidak perlu disemak hanyak layak untuk prosiding mahkamah biasa tetapi perkara ini melibatkan tribunal yang ditubuhkan dibawah Perlembagaan Malaysia. Maka ini jelas menunjukkan semakan perlu dibuat kerana keputusan tribunal ini merupakan keputusan yang pertama dibuat dalam sejarah perundangan Negara. Selain itu, sekiranya hak rayuan Tun dinafikan pada 18 tahun yang lalu maka tiada sebab pintu semakan kehakiman ditutup.

Penulis bersetuju dengan kenyataan Tan Sri Azmi Kamarudin bahawa sekiranya mahkamah tidak boleh mengadakan semakan semula maka pihak eksekutif boleh melakukan sesuka hati tetapi perkara ini tidak berlaku. Itulah sebabnya mahkamah diberikan kuasa untuk menyemak semula keputusan itu. Mahkamah mempunyai prinsip yang jelas dan tidak menggunakan semakan kehakiman sewenang-wenangnya. Sekiranya kuasa ini disekat maka rakyat akan hilang kepercayaan kepada system kehakiman yang sedia ada. Kalau rakyat tidak mempercayai hakim, maka persoalan yang timbul kepada siapa lagi tempat untuk mereka mengadu?

Disamping itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr. Mahathir Mohammad di dalam akhbar perdana beberapa bulan yang lalu bahawa beliau yang meminta supaya Tun Salleh Abbas meletak jawatan amatlah meragukan. Kenyataan beliau telah menimbulkan kekeliruan dikalangan pengamal undang – undang dan ahli akademik terutama pensyarah dan mahasiswa undang – undang bahawa wujudnya campurtangan eksekutif di dalam badan kehakiman. Secara tidak langsung ia telah menjejaskan prinsip utama ‘separation of powers’ yang berkehendakkan bebas dan merdeka. Bahkan pengakuan tersebut mampu menunjukkan konsep ‘rule of law’ dipermainkan dan meruntuhkan konsep demokrasi (foundation of democracy).

Secara tuntasnya, semakan tidak perlu dihentikan. Bahkan ia perlu diperhalusi demi masa depan system keadilan Negara. Ia juga sejajar dengan prinsip dan kehendak Rukun Negara yang kita junjung selama ini iaitu kedaulatan undang – undang dan keluhuran perlembagaan. Selain itu, penulis juga berharap kerajaan dapat menubuhkan suruhanjaya kehakiman bukan sekadar memantau semakan ini tetapi turut bertanggungjawab dalam menentukan pemilihan hakim pada masa akan datang bukan berdasarkan konsep pilih kasih dan berat sebelah. Oleh itu, penulis yakin dan percaya, hamper keseluruhan mahasiswa undang – undang seluruh Negara berharap agar isu dan krisis ini dapat diselesaikan dengan harmoni dan sebaris dengan konsep keadilan yang dituntut oleh negara kita yang merdeka hampir 50 tahun ini. Semoga semakan ini dapat menyelesaikan kemelut yang berpanjangan di sudut akademik dan perundangan serta mengikis sikap prejudis awam.

No comments:

:: TranungKite Online v3 ::